20 September 2014

Oh! Ibu Mertua Isteriku

Ibu Mertua Isteriku

Sudah tiga hari emak kita menziarah kita. Petang ni kita singgah di gerai membeli pisang goreng yang Emak pesan untuk menjamu selera. Setibanya di rumah, memang Emak kita yang menyambut di hadapan pintu tersenyum menjawab salam kita. Sungguh menyeronokkan. Suasana yang amat jarang berlaku dalam hidup kita melainkan dua kali setahun iaitu yang semasa beraya puasa dan haji di kampung.

Tetapi kali ini di rumah kita sendiri. Bersembang panjanglah kita menceritakan hal-hal kerja di pejabat, jiran-jiran, tempat-tempat yang boleh dia lawati dan sebagainya. Ditambah berseloroh bersama cucu-cucunya, bersoal-jawab,  puji memuji, usik mengusik, ... hinggalah tegur-menegur hal-hal yang "remeh-temeh" mengenai cara kita mendidik anak-anak kita tu.

Malam menjelang. Semua makhluk telah tenang memeluk bantal. Ketika kita mula menarik selimut ke pangkal dagu, isteri kita pula membuka bicara manja dengan ungkapan, "Abang, janganlah benarkan emak balik lagi, biar dia tinggal di sini lama-lama sikit. I rasa terhiburlah".

Alangkah sejuknya rasa di hati dengan kata-kata itu.

Tetapi jika luahannya berbunyi begini," Abang, lama ke lagi emak di rumah kita ni?, I runsinglah kat emak ni!. Asyik komplen aje”.

Kita menjadi serba salah. Mungkin pada malam itu kita tidak boleh tidur lelap memikirkannya. Kita bingung:

HAKIKAT BERKELUARGA

Keluarga kita (ayah, emak, abang, kakak dan adik) merupakan orang yang sungguh bererti buat kita. Mereka ini tidak boleh dipisahkan daripada kita. Apabila kita berkahwin, bermakna kita membawa seorang lagi insan ke dalam institusi keluarga kita.

Budaya kita bukan seperti barat. Apabila mereka berkahwin, mereka terpisah dari kedua unit keluarga masing-masing. Senario ini tergambar apabila selesai sahaja majlis perkahwinan mereka, kedua mempelai akan menaiki kereta yang disangkutkan papan tanda "just married" yang penuh dengan gantung-gantungan tin-tin kosong dan hiasan, keluar mencari hotel untuk berbulan madu.

Tetapi budaya kita sebaliknya. Hiasan bilik tidur pengantin laksana bilik beradu sang permaisuri membuktikan bahawa, keluarga pengantin sama ada lelaki atau wanita itu, amat mengalu-alukan kehadiran orang baru ke dalam keluarganya. Kita berbulan madu di rumah ibu dan ayah kita sendiri. Ini bermakna isteri kita telah menjadi salah seorang daripada anak ibu dan ayah juga. Itulah sebabnya isteri kita memanggil ibu kita dengan panggilan "emak", bukannya "Kak Besah" atau "Mak Cik Besah" (Ibu saya bernama Robesah Mat Dahalan). Oleh itu, lojiknya, isteri mestilah mengikut budaya keluarga kita apabila dia telah berkahwin dengan kita. Isteri kita mesti "berkahwin" juga dengan keluarga kita untuk menjamin keharmonian ini.

Begitu juga kita apabila berada bersama keluarga isteri kita. Kita mesti mengikut budaya keluarga isteri untuk menjamin keharmonian ini.

Maka di sinilah puncanya cabaran bagi kita suami isteri untuk mengimbangi komitmen terhadap suami isteri dan keluarga masing-masing.

Walau bagaimanapun, dari sudut Islam, suami tetap mempunyai tanggungjawab kepada keluarganya walaupun kita telah berkahwin. Sedangkan wanita apabila telah menjadi isteri diwajibkan mentaati suaminya dalam apa jua keadaan. Malah Allah telah berjanji untuk memelihara mereka yang taat kepada suami kerana perintahNYA: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di balik pembelakangan suaminya oleh kerana Allah telah memeihara (mereka)....)" An Nisaa':34

CABARAN YANG PASTI DATANG

1. Campur tangan ibu bapa dan mertua dalam hal rumahtangga kita tidak boleh dielakkan.

2. Kaedah mendidik anak cara lama yang diterajui oleh ibu akan menentang cara "moden" yang kita berdua sepakati yang berdasar hujjah saintifik.

3. Perbezaan latar belakang dan amalan keluarga seperti cara masak dan sebagainya amat mudah menyinggung hati mertua dan menantu.

4. Cemburu kasih kerana takut hilang perhatian antara ibu dan isteri juga memudahkan sang suami hilang punca mencari penyelesaian.

APA YANG BOLEH KITA BUAT

Secara umumnya:

Secara hikmah didik isteri kita menjadi anak kepada ibu kita.

  1. Ceritakan dan kenalkan dengan mendalam kepada isteri, perangai-perangai emak, ayah, semua adik beradik, dan keluarga terdekat agar mudah isteri kita bermesra dengan mereka.

  2. Secara sedar, peringatkan kepada isteri kita, bahawa dia adalah anak emak dan ayah kita juga.

  3. Minta isteri kita sentiasa telefon bersembang dengan emak (paling kurang sebulan sekali diawal perkahwinan).

  4. Jika ada masalah kesihatan anak-anak, minta isteri kita mendapatkan pandangan emak. Agar emak rasa dihargai.

  5. Bila bercadang berkelah keluarga, bawa sekali emak dan ayah bersama-sama agar interaksi semasa bermusafir itu merapatkan lagi kasih sayang antara mereka.

  6. Jika perkahwinan dengan isteri kita, tidak direstui oleh emak dan keluarga kita, bantulah isteri kita untuk membuktikan yang pilihan kita itu adalah tepat. Sama-sama berbincang secara sedar untuk menawan hati mereka.

  7. Didik isteri agar menganggap ibu mertuanya itu sebagai "rakan kongsi" membangun rumahtangga kita dan menawan hati kita. Suruh isteri belajar masakan dari ibu, iaitu masakan yang amat kita sukai.

  8. Jika ada perkara-perkara yang tidak menyenangkan hati isteri terhadap ibu kita, maka dengan proaktif kita hendaklah bertanya akan hal ini.

  9. Sehubungan dengan ini, kita mestilah memahami bahasa badan isteri dan berkomunikasilah dengannya dengan bijaksana. Jangan tunggu isteri membuka mulut untuk mengadu. Kitalah perlu proaktif.

  10. Tanamkan dalam pemikiran dan sikap isteri kita agar tidak bersangka buruk dan negatif kepada mertua dan ipar-iparnya. Jika dia mula nak mengumpat keluarga kita, maka dengan bijaksana kita mesti elakkan "aduan" ini menjadi negatif dan berpanjangan.


- Pak Utih -

4 ulasan:

  1. case study.
    mcm mana klu menantu mmg berusaha anggap mak mcm mak sendiri. tp biasanya mak mertua susah nk anggap menantu mcm anak sendiri :-(

    BalasPadam
  2. Itu ujian pula kepada menantu. Memang kebanyakan ibu ada perasaan rasa cemburu terhadap menantunya itu. Wlwbagaimanapun jika terus berdoa dan susun strategi bersama suami (Syarat suami mesti assertif dgn hikmah) utk memikat hati ibu itu. Jika udah cuba pebagai cara.. tak juga berhasil.. maka serah kpd Allah segala urusan. Kerana Dia amat mengetahui keadaan hambaNya. Banyak strategy boleh dirancang bersama dgn suami. Allahu alam. Pak Utih

    BalasPadam
  3. Pak Utih, bagaimana pula keadaannya hendak didik suami jadi anak ibu mertuanya? adakah sama konsep dengan perkara yang telah Pak Utih nyatakan?

    BalasPadam
  4. Salam Nur, ya sama konsep nya.. suami harus duplicate apa ayah mertuanya buat.

    BalasPadam