30 September 2014

Hadiah ada yang bernilai untuk pasangan

Apakah hadiah yang sangat bernilai untuk pasangan anda?

Untuk suami:
1. Suami tiada nilai kejutan, sila tanya kepada dia, apa hadiah yang dia mahu sempena hari ulang tahun kelahirannya. Dia suka hadiah yang dia perlukan pada masa itu.

2. Jangan beli barangan yang dia tidak perlu atau tidak pernah guna. Nanti dia simpan sampai ke tua. Contoh. dia tidak pernah pakai minyak wangi. Jangan beli minyak wangi kerana tiada nilai baginya.

3. Jika mahu buat kejutan juga. Sila perhatikan asesori yang dia sedang pakai dan gantikan asesori itu dengan yang baru yang sama warna dan bentuk serta jenama yang terkenal daripada yang sedang dia pakai. Contoh beg duitnya yang kelihatan lusuh. Belikan yang baru yang sama warna tetapi lebih berkualiti. Pasti dia "terkejut beruk" menerimanya.

Untuk isteri:
1. Jika isteri bekerja di pejabat yang tidak berunifom. Sila hadiahkan banyak-banyak baju untuk dia pergi kerja, Sebab kebiasaan baju yang dia pakai pergi kerja seelok-eloknya 6 bulan pusingan. Dia malu kalau terpaksa ulang pakai baju itu dalam bulan yang sama.

2. Bila berpisah daripadanya lebih 3 hari, sila belikan hadiah kepadanya apa saja yang anda teringat. Walau semurah sebatang pen atau seketul "magnet cenderamata peti sejuk". Nilainya ialah membuktikan anda ingat kepadanya.

3. Buat kejutan dengan memberi barangan unik asesori dan hiasan dalaman rumah yang diminati kaum hawa (barangan itu boleh tengok dalam majalah-majalah wanita) sekali sekala (sebulan sekali) kemudian bila dia tanya, " Hadiah ni untuk apa?". Katakan, " Saja je, sebab I Love you".

4. Yang paling POWER sekali ialah beri dia duit sama ada dia minta atau tidak.

Selamat mencuba.. Pak Utih

20 September 2014

Oh! Ibu Mertua Isteriku

Ibu Mertua Isteriku

Sudah tiga hari emak kita menziarah kita. Petang ni kita singgah di gerai membeli pisang goreng yang Emak pesan untuk menjamu selera. Setibanya di rumah, memang Emak kita yang menyambut di hadapan pintu tersenyum menjawab salam kita. Sungguh menyeronokkan. Suasana yang amat jarang berlaku dalam hidup kita melainkan dua kali setahun iaitu yang semasa beraya puasa dan haji di kampung.

Tetapi kali ini di rumah kita sendiri. Bersembang panjanglah kita menceritakan hal-hal kerja di pejabat, jiran-jiran, tempat-tempat yang boleh dia lawati dan sebagainya. Ditambah berseloroh bersama cucu-cucunya, bersoal-jawab,  puji memuji, usik mengusik, ... hinggalah tegur-menegur hal-hal yang "remeh-temeh" mengenai cara kita mendidik anak-anak kita tu.

Malam menjelang. Semua makhluk telah tenang memeluk bantal. Ketika kita mula menarik selimut ke pangkal dagu, isteri kita pula membuka bicara manja dengan ungkapan, "Abang, janganlah benarkan emak balik lagi, biar dia tinggal di sini lama-lama sikit. I rasa terhiburlah".

Alangkah sejuknya rasa di hati dengan kata-kata itu.

Tetapi jika luahannya berbunyi begini," Abang, lama ke lagi emak di rumah kita ni?, I runsinglah kat emak ni!. Asyik komplen aje”.

Kita menjadi serba salah. Mungkin pada malam itu kita tidak boleh tidur lelap memikirkannya. Kita bingung:

HAKIKAT BERKELUARGA

Keluarga kita (ayah, emak, abang, kakak dan adik) merupakan orang yang sungguh bererti buat kita. Mereka ini tidak boleh dipisahkan daripada kita. Apabila kita berkahwin, bermakna kita membawa seorang lagi insan ke dalam institusi keluarga kita.

Budaya kita bukan seperti barat. Apabila mereka berkahwin, mereka terpisah dari kedua unit keluarga masing-masing. Senario ini tergambar apabila selesai sahaja majlis perkahwinan mereka, kedua mempelai akan menaiki kereta yang disangkutkan papan tanda "just married" yang penuh dengan gantung-gantungan tin-tin kosong dan hiasan, keluar mencari hotel untuk berbulan madu.

Tetapi budaya kita sebaliknya. Hiasan bilik tidur pengantin laksana bilik beradu sang permaisuri membuktikan bahawa, keluarga pengantin sama ada lelaki atau wanita itu, amat mengalu-alukan kehadiran orang baru ke dalam keluarganya. Kita berbulan madu di rumah ibu dan ayah kita sendiri. Ini bermakna isteri kita telah menjadi salah seorang daripada anak ibu dan ayah juga. Itulah sebabnya isteri kita memanggil ibu kita dengan panggilan "emak", bukannya "Kak Besah" atau "Mak Cik Besah" (Ibu saya bernama Robesah Mat Dahalan). Oleh itu, lojiknya, isteri mestilah mengikut budaya keluarga kita apabila dia telah berkahwin dengan kita. Isteri kita mesti "berkahwin" juga dengan keluarga kita untuk menjamin keharmonian ini.

Begitu juga kita apabila berada bersama keluarga isteri kita. Kita mesti mengikut budaya keluarga isteri untuk menjamin keharmonian ini.

Maka di sinilah puncanya cabaran bagi kita suami isteri untuk mengimbangi komitmen terhadap suami isteri dan keluarga masing-masing.

Walau bagaimanapun, dari sudut Islam, suami tetap mempunyai tanggungjawab kepada keluarganya walaupun kita telah berkahwin. Sedangkan wanita apabila telah menjadi isteri diwajibkan mentaati suaminya dalam apa jua keadaan. Malah Allah telah berjanji untuk memelihara mereka yang taat kepada suami kerana perintahNYA: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di balik pembelakangan suaminya oleh kerana Allah telah memeihara (mereka)....)" An Nisaa':34

CABARAN YANG PASTI DATANG

1. Campur tangan ibu bapa dan mertua dalam hal rumahtangga kita tidak boleh dielakkan.

2. Kaedah mendidik anak cara lama yang diterajui oleh ibu akan menentang cara "moden" yang kita berdua sepakati yang berdasar hujjah saintifik.

3. Perbezaan latar belakang dan amalan keluarga seperti cara masak dan sebagainya amat mudah menyinggung hati mertua dan menantu.

4. Cemburu kasih kerana takut hilang perhatian antara ibu dan isteri juga memudahkan sang suami hilang punca mencari penyelesaian.

APA YANG BOLEH KITA BUAT

Secara umumnya:

Secara hikmah didik isteri kita menjadi anak kepada ibu kita.

  1. Ceritakan dan kenalkan dengan mendalam kepada isteri, perangai-perangai emak, ayah, semua adik beradik, dan keluarga terdekat agar mudah isteri kita bermesra dengan mereka.

  2. Secara sedar, peringatkan kepada isteri kita, bahawa dia adalah anak emak dan ayah kita juga.

  3. Minta isteri kita sentiasa telefon bersembang dengan emak (paling kurang sebulan sekali diawal perkahwinan).

  4. Jika ada masalah kesihatan anak-anak, minta isteri kita mendapatkan pandangan emak. Agar emak rasa dihargai.

  5. Bila bercadang berkelah keluarga, bawa sekali emak dan ayah bersama-sama agar interaksi semasa bermusafir itu merapatkan lagi kasih sayang antara mereka.

  6. Jika perkahwinan dengan isteri kita, tidak direstui oleh emak dan keluarga kita, bantulah isteri kita untuk membuktikan yang pilihan kita itu adalah tepat. Sama-sama berbincang secara sedar untuk menawan hati mereka.

  7. Didik isteri agar menganggap ibu mertuanya itu sebagai "rakan kongsi" membangun rumahtangga kita dan menawan hati kita. Suruh isteri belajar masakan dari ibu, iaitu masakan yang amat kita sukai.

  8. Jika ada perkara-perkara yang tidak menyenangkan hati isteri terhadap ibu kita, maka dengan proaktif kita hendaklah bertanya akan hal ini.

  9. Sehubungan dengan ini, kita mestilah memahami bahasa badan isteri dan berkomunikasilah dengannya dengan bijaksana. Jangan tunggu isteri membuka mulut untuk mengadu. Kitalah perlu proaktif.

  10. Tanamkan dalam pemikiran dan sikap isteri kita agar tidak bersangka buruk dan negatif kepada mertua dan ipar-iparnya. Jika dia mula nak mengumpat keluarga kita, maka dengan bijaksana kita mesti elakkan "aduan" ini menjadi negatif dan berpanjangan.


- Pak Utih -

14 September 2014

Bila isteri menguap nak tidur....

menguap.jpgKita, suami yang sentiasa sibuk dengan kerjaya atau berpersatuan ni, kadang-kadang suka membawa kerja-kerja pejabat, atau kerja persatuan ke rumah untuk dibereskan. Masa yang selalu kita gunakan ialah antara jam 10 hingga 1 tengah malam. Memanglah masa itu  amat sesuai kerana kita pun dah makan, badan terasa segar kembali, anak-anak pun dah masuk tidur dan tidak menganggu lagi. Malah ramai juga dikalangan kita yang tidak membuat kerja seperti di atas tetapi menonton TV. Biasanya cerita pada waktu-waktu ini "khas" untuk orang macam kita yang profesional ni. Maka kita pun dengan penuh minat, memberikan tumpuan kepada kerja-kerja atau menonton TV. Ditambah kusyuk lagi apabila isteri kita pula datang menyediakan minuman kegemaran kita.


Apabila jam telah hampir 11.30 hingga 12.00 mlm, biasanya isteri kita akan menghampiri kita seolah-olah berminat terhadap apa yang sedang buat itu. Bagi isteri yang rajin bertanya, dia akan menanyakan sesuatu yang ada kaitan dengan kerja kita itu. Bagi isteri yang jenis pendiam pula, dia akan menghampiri kita dan menyentuh dengan kita. Kalau dia lihat kita masih kusyu' dengan kerja atau menonton TV, maka dia akan memberi peringatan dengan suara yang perlahan, " Dah jauh malam ni, tak ngantuk ke.." atau dia menguap dengan kuat sikit bunyinya.


Apabila kita mendengar peringatan dari isteri kita itu, disebabkan minda masih tertumpu kepada kerja, biasanya kita akan teruskan kerja-kerja tadi dengan membalas, " Kejap aje lagi". Untuk menenangkannya atau supaya dia tidak ganggu lagi.


Bila kerja dah selesai, atau TV pun dah berbunyi seeeeeeeee!!!!! (berbintik-bintik di screen), barulah kita naik tidur. Waktu begini, suasana dah teramat tenang sampai ke pagi. Kita pun bangun dengan doa yang amat gembira sekali.


Tetapi, bagaimana pula isteri kita?.. Belum pasti dia gembira. Semasa dia "menunggu", kita tidak juga menjelma. Semasa dia "tak mahu" kita pula yang mendesak. Akhirnya semua kerja-kerja kita yang kita bawa ke rumah itu akan dilihatnya sebagai "musuh utama" yang mesti ditentang. Maka timbullah anggapan yang isteri kita ni tidak membenarkan kita aktif dalam persatuan atau jamaah atau kerjaya dan sebagainya.


Inilah salah satu komunikasi isteri yang sering kali kita gagal memahaminya. Sebenarnya, jika isteri telah menyediakan minuman dan memberikan masa untuk kita menyelesaikan kerja, kemudian dia datang memberi peringatan seperti,  "mengantuk ah"... "dah tengah malamlah".. "tak habis kerja ke lagi"..." apa le best sangat cerita tu".... "asyik bola bola bola", ini bemakna, ada satu lagi "agenda" yang amat dinanti-nantikan, yang juga amat "penting" baginya pada malam itu. Sebab, jika terlepas agenda pada malam itu. Maka terpaksalah tunggu bulan depan pula kedatangan kitaran "miang"nya itu.


Kita tahu yang Malaikat akan melaknati isteri kita sampai ke pagi kerana tidak melayan kehendak kita. Tetapi kita juga mestilah berlaku adil kepada isteri apabila datang pula giliran permintaannya.


Oleh itu, rancanglah penggunaan masa kerja-kerja di pejabat, masyarakat dan persatuan dengan lebih berkesan dan cekap. Masukkan juga "agenda" kita bersama dengan isteri dalam jadual harian dan mingguan itu. Supaya ianya lebih adil kepada isteri kita. Dia juga mempunyai hak terhadap kita.


Selamat mencuba.... Pak Utih

1 September 2014

Sila guna bahasa "Saya" Jangan guna "Awak"

Waktu hujung-hujung minggu, biasanya kita yang sibuk dengan kerja-kerja di pejabat tu, amatlah teringin untuk berehat dengan erti kata rehat yang sebenar-benarnya. Seperti relax membaca akhbar, majalah-majalah dan bersantai di kerusi empuk tu bermandikan cahaya sinaran TV yang akan dibuka dari 7.00 pagi sampailah ke 11.00 malamnya. Kalau boleh tak mahu langsung membuat kerja-kerja yang memenatkan sama ada otak maupun otot-otot ni. Jadi dengan niat yang telah kita lafazkan di dalam hati tu sejak awal-awal pagi lagi, maka segala otot-otot kita pun turut menerima arahan otak tu dan terus mengendurkan dirinya dan ingin saja berehat bersama-sama dengan anggota badan kita yang lain. Maka tenggelamlah kita di dalam empukan sofa "malas" kita tu hingga ke waktu yang ditentukan oleh kita sendiri.



Anak-anak yang kecil-kecil yang masih mahu bermanja lagi dengan kita akan mengambil kesempatan ini untuk menguasai kita dengan memanjat di belakang dan sampai naik ke atas kepala kita laksana "King Kong" menguasai Tower tertinggi di New York tu. Kita relakan anak-anak itu berkingkong ke atas kita kerana inilah sahaja masa untuk kita bermesra dengan mereka. Malah, memang pada hujung minggu inilah anak-anak kita itu menantikan-nantikan waktu ayah mereka duduk berehat di atas sofa kegemaran kita tu. Mereka merasakan inilah peluang mereka untuk mengetuk, mencekik, memanjat dan malah mengencingkan air kecil mereka ke atas riba kita. Maka seronoklah mereka dan kita. Kita biarkan mereka berbuat apa saja ke atas kita asalkan mereka tidak mengarah atau menyuruh kita buat kerja-kerja yang memerah otot-otot kita.


Lain pula dengan isteri kita. Peluang hujung minggu ni lah nak suruh abangnya tinggikan sikit gambar permandangan yang baru dibeli, sebab rendah sangat nanti orang tak nampak. Sapu sawang pada siling yang tinggi tu sebab nampak huduh macam rumah tak bertuan. Gosok sikit lantai mosaik di bilik air tu sebab nampak hitam berlumut, nanti malu kalau orang datang nak guna bilik air tu. Nak ubah katil "king size" tu ke sebelah kanan bilik, sebab dah jemu dengan kedudukan yang sedia ada ni dan macam-macam lagi agendanya yang sentiasa kreatif dan inovatif itu.


Maka apabila dia lihat sahaja kita sedang terbaring menghadap TV atau sedang membaca akhbar atau majalah tu selepas menjamah sarapan pagi, dia akan berkata,
"Lantai di bilik air tu kotor lah bang, mengapa abang tak cuci lagi, nanti orang datang rumah kita, malulah kita bang!. Atau "Abang, gambar tu abang pasang rendahlah bang, nanti tak nampaklah, tak cantik, rugi aje beli gambar lawa-lawa tapi tak nampak. Tinggikannya sikit bang!" Atau mana-mana isteri yang berani sikit tu atau yang rasa ada kuasa sikit tu akan berkata, "Abang ni sama aje macam budak-budak tu, tiap hari minggu mengadap TV tak habis-habis, tu hah, sawang dah naik hitam kat siling atas kepala awak tu, tolonglah Yah, Yah tak sampai nak cuci tu, tinggi sangat".


Maka kita pun rasa tergugat dengan serangan-serangan pagi dari isteri kita tu. Sebab memang kita tidak bersedia untuk membuat apa-apa malah apa lagi untuk menangkis serangan tersebut. Jika difikirkan alasan isteri itupun ada benarnya, tetapi hati kita tetap tidak setuju dengannya. Mulalah kita mencari alasan-alasan yang munasabah untuk menangkis serangan isteri tadi atau mencari "bom tangan" yang dapat mengalahkannya secepat mungkin agar keselamatan "awam kita" terjamin untuk pagi itu. Jawapan kita kadang-kadang begini,


" Alahai, nanti abang buatlah" "Abang letihlah, panggil tukang gambarlah untuk repair, nanti abang bayar". "Takkan tak boleh sampai, ambil buluh, sambunglah dengan batang sapu sawang tu, kalau hendak seribu daya tak hendak seribu dalih".


Harapan kita agar isteri akan puas dengan jawapan kita. Tetapi sebaliknya, serangannya bertambah bertalu-talu menggunakan meriam penangkis kapal terbang pula. Hujahnya bertambah logik berserta dengan sejarah-sejarah silam yang kita pernah berjanji tetapi tidak kita laksanakan. Akhirnya niat kita untuk berehat telah bertukar menjadi gelanggang berentap memenangkan objektif masing-masing di pagi hujung minggu.


Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita selami puncanya.


Kita dan isteri kita banyak menggunakan bahasa "awak" dari bahasa "saya". Ini yang menyebabkan kita seolah-olah serang menyerang semasa kita berkomunikasi. Jika kita dan isteri kita menggunakan bahasa "saya", pasti komunikasinya itu akan boleh diterima dengan baik oleh kita dan dia.


Contoh:


Bahasa "awak" yang dia gunakan tadi: "Lantai di bilik air tu kotor lah bang, mengapa awak tak cuci lagi, nanti orang datang rumah kita, malulah kita bang!.


Bahasa "saya" yang sepatut digunakannya:


"Saya nampak lantai bilik air tu tak berapa cantiklah, Saya sukalah kalau boleh dicuci sikit. Nanti kalau orang datang, hati Saya seronok kalau orang tu pakai bilik yang bersih."


Isteri ini langsung tidak menggunakan "abang" tetapi lebih membahasakan dirinya dalam saranannya ini. Bukankah ianya lebih lembut dan tidak menyerang suaminya. Tentu sekali suaminya boleh menerika kenyataannya ini.


Satu lagi contoh bahasa "awak":


"Abang, gambar tu awak pasang rendahlah, nanti tak nampaklah, tak cantik, rugi aje beli gambar lawa-lawa tapi tak nampak. Tinggikannya sikit bang!"


Bahasa "saya" yang sepatut digunakan:


"Saya sukalah kalau gambar tu dinaikkan sikit, baru nampak serinya, ya tak bang?"


Jadi, jika suami-suami yang saya hormati ini telah memahami pendekatan bahasa "saya" ini, maka sampaikanlah kepada isteri saudara dan saudara juga hendaklah mengamalkannya. Yakinlah, kita akan dapat menikmati kerehatan yang sebenarnya bukan hanya dihujung minggu malah setiap masa jika kita mengamalkan bahasa "saya" ini.


Selamat mencuba.


- Pak Utih -