13 Ogos 2014

Tip melayan Ibubapa / Mertua bertandang ke rumah Pasangan suami isteri Gen Y

Tip melayan Ibubapa / Mertua bertandang ke rumah Pasangan suami isteri Gen Y (Umur 17 – 37)

1. Objektif Ibubapa dan Mertua datang ke rumah pasangan anaknya ialah 
1.1 Untuk melepaskan rindu terhadap cucunya (jika dah bercucu) 
1.2 Melihat sendiri suasana kehudupan anak dan menantunya di rumah mereka.

2. Apabila sahaja terdengar desas desus Ibu Ayah atau Mertua nak datang ke rumah, perkara yang wajib dibuat ialah:
2.1 Dapatkan pengesahan kedatangan mereka dengan telefon dan bercakap terus dengan mereka. Jangan gunakan SMS atau mana-mana pesanan laman sosial. Ini memberikan isyarat yang anda sangat teruja menerima kedatangan mereka.
2.2 Jika tarikh kedatangan mereka tidak sesuai kerana anda berdua ada urusan pejabat yang tidak dapat dielakkan, maka cadangkan tarikh-tarikh lain. Supaya anda berdua lebih bersedia menerima mereka.
2.3 Jika ibubapa atau Mertua ingin juga datang pada tarikh yang tidak sesuai itu, eloklah berterus terang yang anda berdua tidak dapat memberikan layanan yang sebaik –baiknya melalui percakapan bukan dengan SMS. Hanya dengan lisan sahaja, maksud dan emosi dapat difahami oleh ibubapa dan mertua anda.
2.4 Jika telah dapat persetujuan, maka bincanglah suami isteri menyusun strategi agar kehadiran ibubapa mertua di rumah anda akan menambahkan pahala anda berdua dan peluang mencari redha Allah.

3. Hari pejalanan Ibubapa Mertua ke rumah
3.1 Awal-awal lagi, siapkan bilik tidur untuk mereka mengikut kemampuan yang ada.
3.2 Jangan aturkan tempat tidur mereka bersama-sama dengan cucu di dalam satu bilik melainkan mereka sendiri yang pelawa cucu tidur bersama.
3.3 Jangan pula minta mereka tidur di bilik resmi tidur anda (master bedroom). Ini akan menyebabkan mereka tidak selesa.
3.4 Salah seorang daripada anda telefon mereka yang sedang dalam perjalanan dengan mengatakan, “ Nanti sampai di rumah, kita makan sama-sama”. Walaupun waktu ketibaan mereka bukan waktu makan tengahari atau makan malam. Ini bertujuan untuk menyatakan kegembiraan dia atas kesudian mereka datang ke rumah. Jika mereka “berkeras” tidak mahu dilayan sebegitu kerana mereka kenyang atau sebagainya, maka sediakan juga minuman dan kudapan untuk majlis sambutan ketibaan mereka. Sediakan juga walaupun dia sampai di waktu tengah malam.
3.5 Jangan sekali-kali bertanya dengan menggunakan ungkapan ini, “Ayah dan Mak dah makan ke?”. Sudah pasti mereka akan jawab, “Dah, tak perlu susah-susah”. Kebanyakan ibubapa mertua memang berniat nak makan bersama-sama semasa bertemu nanti.

4. Tiba di rumah anda
4.1 Semua hadirkan diri sambut mereka di get atau dipintu utama rumah. Walaupun mereka sampai waktu tengah malam, suami isteri WAJIB bersalaman menyambut mereka. Sunat kejutkan anak-anak menyambut Atuk dan Opah mereka. Alangkah terhibur dan hilang penat lelah perjalanan seharian ibubapa mertua jika semua menyambut mereka.
4.2 Jika anda tidak dapat melayan lama-lama kerana tersangat mengantuk atau ada urusan yang lain, maka mintalah kebenaran daripada mereka dua. Mereka juga memahami.
4.3 Jangan tanya soalan ini, “Ayah dan Mak nak balik bila?’. Ini menyinggung perasaan mereka.
4.4 Ungkapan yang baik ialah “Kami ada banyak aturcara untuk Mak dan Ayah ni.. esok ke ke ..... lusa ke ...... tulat ke ........” Tunggulah respon daripada mereka. Daripada jawapan mereka, anda berdua boleh mengagak tarikh mereka balik ke kampung. Maka bincanglah suami isteri di dalam bilik untuk melayan mereka selama mereka ada di rumah anda.

5. “Duplicate” budaya seharian ibu ayah –mertua di rumah anda untuk keselesaaan mereka
5.1 Jika ayah kebiasaan ke masjid untuk solat subuh, sebelum tidur, ingatkan ayah itu yang anda akan kejut dia untuk persiapan ke masjid.
5.2 Pastikan anda bangun lebih awal daripada dia dan tunggu dia di dalam kereta anda untuk ke masjid.
5.3 Jika kebiasaan anda pergi kerja sebelum subuh, maka beritahu kepada ayah atau mertua kedudukan kunci-kunci pintu dan atau get untuk memudahkan dia keluar rumah sendirian ke masjid tanpa menganggu orang lain di dalam rumah itu.
5.4 Jika kebiasaan ibu ayah makan pagi jam 7, maka usahakan bangun awal sama ada beli atau masak juadah untuk sarapan. Sebaik-baiknya makan pagi pertama di rumah ialah sarapan bersama-sama mereka. Jika terpaksa tinggalkan mereka sebelum makan, eloklah nyatakan kemaafan tidak dapat bersama dan pastikan semua makanan tersedia untuk mereka.
5.5 Kebiasaannya ibu bapa metua akan bawa makanan dari kampung. Maka eloklah dihidangkan juga makanan itu dan makan bersama-sama.
5.5 Semasa sembang pagi itu, eloklah ceritakan “Budaya Anda Berdua Seharian Di Rumah itu” kepada ibu ayah mertua agar mereka boleh menyesuaikan pula diri mereka untuk hari-hari berikutnya di rumah anda.

6. Disiplin Anak-anak Melayan Atuk Neneknya
6.1 Sehari sebelum ibu ayah mertua datang, eloklah diberikan taklimat kepada anak-anak terutama sekali yang sudah mengerti dan memahami kerinduan orang tua kepada cucunya.
6.2 Beri mereka latihan menyambut datuk nenek mereka di pintu, bila makan bersama datuk nenek dan semasa bermain dengan datuk nenek.
6.3 Latih anak-anak itu agar tidak “MENGARAH” Atuk dan Opahnya itu ini mengikut kehendak mereka. Tingkahlaku cucu mereka ini juga boleh memberikan persepsi dan jawapan kepada objektif kedua mereka datang bertandang ke rumah anda.

7. Ibu Ayah Mertua pulang
7.1 Sediakan buah tangan untuk mereka bawa pulang.
7.2 Jika anda “terlebih duit” hulurkan ala kadar kepada mereka berdua sebagai belanja tambang pulang ke kampung.
7.3 Ungkapkan berulangkali, “Nanti datang lagi ya”.
7.4 Semua turun melambai-lambai hingga mereka hilang daripada pandangan.
7.5 Berdoalah berdua kepada Allah agar layanan anda itu mendapat pahala dan keredhaan Allah dan doakan agar Allah mengasihi mereka berdua kerana telah menjaga anda berdua dari kecil lagi.

Selamat mencuba .... Pak Utih dan boleh “Share”.

Khas Untuk Pasangan Generasi Y yang telah berkahwin dan tinggal MENUMPANG di rumah Ibubapa/Mertua.




Khas Untuk Pasangan Generasi Y yang telah berkahwin dan tinggal MENUMPANG di rumah Ibubapa/Mertua.

Tip membantu belanja rumah Ibubapa/Mertua dan Menambah KASIH SAYANG MEREKA.

Biasanya anak muda Generasi Y yang tinggal bersama ibubapa yangbekerja, tidak dilatih untuk mengeluarkan duit gaji sendiri untuk membeli barangan dapur atau membayar bil letrik atau air di rumah yang mereka duduki. Ini disebabkan daripada awal lagi, semuanya itu dibayar oleh ibubapa mereka. Apabila mereka telah bekerja, belanja rumah itu masih diuruskan oleh kedua orang tua mereka yang masih bekerja. Apabila mereka berkahwin, pemikiran dan sikap mereka masih tidak berubah. Bila tinggal di rumah mertua, suami atau pasangan ini tidak terfikir untuk mengagihkan pendapatan bulanan mereka membantu mertua membayar belanja rumah itu. Memanglah mereka tidak perlu membayar sewa bilik kerana itu adalah rumah ibubapa atau lebih tepat lagi bilik yang mereka tidur itu adalah bilik isterinya sejak dari kecil lagi.
Mungkin kedua ibubapa mertua tidak minta atau memerlukan bantuan belanja rumah kerana kebanyakan mereka pun masih mampu membiyaainya. Namun sebagai pasangan suami isteri, apa lagi bagi mereka yang telah ada rezeki berpendapatan tetap bulanan, eloklah menyahut seruan Allah SWT di dalam Al Baqarah: 215

“Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa sahaja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.”

Insya Allah, dengan membuat sedikit komitmen membantu mengurangkan perbelanjaan rumah ibubapa mertua itu, ini akan menambahkan lagi kasih sayang mereka itu kepada pasangan Gen Y ini.

Jadi, apakah perkara yang sesuai untuk dibelanjakan di rumah itu? Bincanglah sesama suami isteri secara terbuka dengan niat untuk menambahkan kasih sayang ibubapa mertua kepada mereka. Kekadang, ada juga pasangan, semasa dapat gaji, membawa ibubapa mertua makan di restoren tertentu dan berbelanja sesuatu untuk rumah itu. Kemungkinan sumbangan mereka ini tidak menambah nilai kasih sayang kerana tidak memenuhi kehendak dan keperluan mereka. Kebiasaannya ada dua item utama yang boleh menambah nilai kasih sayang ini.

1. Bil eletrik, air dan talian tetap telefon.

Sebaik-baiknya, sampai sahaja bil-bil yang tersebut di atas tiap bulan ke rumah, terus saja ambil tanpa memberitahu ibubapa mertua dan membayarnya. Tunjukkan sahaja kertas bil yang telah dibayar kepada mereka. Jika mereka “terkejut” dan melarang anda membayarnya, jawablah, “Alhamdulillah, sikit aje”. Membayar bil-bil ini adalah satu strategi yang sangat tepat. Kerana item ini adalah isu perbincangan utama ibubapa mertua ini sejak mereka menjadi suami isteri. Mereka dahulu pernah berkonflik mengenai penjimatannya. Alhamdulillah, sekarang anak menantunya telah mengendurkan stres mereka yang selama ini mereka alami.

2. Makanan utama di dapur.

Sentiasa perhatikan bekalan makanan utama di dapur di dalam keadaan minimum satu perempat muatannya. Apa yang dikatakan bekalan makanan utama ialah jika ada orang bertandang ke rumah pada bila-bila masa, ibubapa mertua tidak STRES, kerana bekalan makanan tersedia untuk digunakan. Tidaklah malu mereka, jika ada orang datang, tengok-tengok gula dah habis, kelam kabut menyuruh anak berlari ke kedai membeli gula atau beras. Oleh itu apa yang dikatakan bekalan utama ialah beras, gula, minyak masak, gas masak, kopi dan teh (jenama kegemaran ibubapa mertua). Bekalan sampingan ialah bahan-bahan lain untuk masakan. Bahan-bahan ini tidak wajib dibeli. Ibubapa mertua lebih memahami keperluannya.

Selamat Mencuba....... sila “share” Pak Utih.




Siapakah yang "wajib" pergi Honeymoon?

bali1_jpg.jpg

Pergi "honeymoon" atau berbulan madu bukan budaya kita. Tetapi pasangan muda sekarang ini (Generasi Y) yang cara hidup mereka lebih terkawal, tersusun, terdedah dengan maklumat dan penuh dengan peraturan yang telah ditentukan  sistem pendidikan di bandar dicadangkan elok cari peluang pergi berbulan madu.

Berbeza dengan generasi "BabyBoomers" (ibubapa mereka) yang kebanyakannya lahir dan dibesarkan di dalam suasana kampong yang hubugan kekeluargaan amat rapat. Pengetahuan mengenai rumah tangga diperolehi daripada saudara mara di kampong. Jika ada krisis, satu kampong membantu mereka.

Berbulan madu ialah pasangan yang baru berkahwin pergi ke sesuatu destinasi pelancongan untuk mencari peluang berkenal mesra buat pertama kali selepas diijabkabulkan. Kebanyakan pasangan memilih hotel atau tempat peranginan di tepi laut. Sepanjang berbulan madu, pasangan ini memadu kasih dan sekembali nanti penuh dengan kenangan manis yang akan diungkapkan dari masa kesemasa untuk menambahkan lagi cinta kasih sayang.

Pasangan manakah yang "wajib" pergi?

1. Pasangan yang selepas berkahwin terpaksa tinggal berasingan kerana tempat kerja suami isteri tidak setempat (jauh),

2. Pasangan suami isteri masih belajar dan terpaksa berpisah antara benua.

3. Pasangan yang tinggal di rumah ibabapa atau mertua.

Pasangan yang "sunat" pergi?

1. Pasangan yang tinggal serumah sendiri.

 

Tujuan Berbulan Madu

1. Semasa berbulan madu nanti, bagi pasangan yang baru kenal (perkahwinan yang diatur oleh keluarga) dapat memecah rasa segan dan malu bersama suami atau isterinya.

2. Peluang untuk memutikkan rasa keselesaaan bersama agar mendapat anugerah "mawaddah wa rahmah" daripada Allah SWT.

3. Merancang halatuju pasangan ini agar kedua suami dan isteri dapat memainkan peranannya di dunia ini untuk kebahagiaan yang abadi di akhirat kelak.

4. Membantu pasangan memahami budaya hidup keluarga masing-masing

5. Merangka dan mencipta budaya baru di rumah agar kehendak dan keperluan suami isteri yang berbeza itu terbelai dan produktif.

 

Ativiti berbulan madu

1. Merancang dan memilih tempat berbulan madu yang sesuai dengan status kewangan pasangan. Pastikan tempat itu yang belum pernah pergi. Ini memberikan impak kemesraan yang lebih. Dicadangkan di tepi laut.

2. Berpegang tangan apabila berjalan. Ini boleh mempercepatkan kemesraan. Pastikan jalan bersama bersebelahan. Bukan ditinggalkan.

3. Setelah "check in" bilik penginapan, suami serahkan segala pengurusan bilik itu (katakanlah dua malam) kepada isterinya. Selama dua malam itu, apa saja pandangan dan komen isteri mengenai bilik itu, terimalah. Tujuan untuk melatih pasangan agar di rumahnya nanti, isterinya ialah pengurus yang wajib dipatuhi.

4. Aktiviti di luar bilik penginapan adalah tanggungjawab suami. Suami merancang aktiviti "outdoor". Jangan duduk dalam bilik aje sepanjang 3 hari 2 malam itu. Nanti tidak kenal matahari dan bulan.

5. Aktivit outdoor yang sesuai ialah kanoing (menghayati peranan suami menjadi penjaga dan pengemudi isteri dalam kehidupan), kabel bukit atau naik gajah, yang menggayatkan (agar peranan suami menjaga kebimbangan isteri dapat dihayati), jungle trek atau berenang di pantai (juga melatih dan menghayati kerjasama suami isteri dalam kehidupan).

6. Semasa makan pagi, tengahari, makan malam di restoren hotel, eloklah dijadikan sesi berkenalan dan merancang kehidupan masa depan. Pasangan masing-masing menceritakan budaya cara hidup keluarga mereka dan perkara yang "boleh" dan "tidak boleh" dilakukan di rumah keluarga masing-masing.

7. Berbalas-balas ceritakan pengalaman masing-masing bermula dari kecil hinggalah sekarang. Jika ada peristewa "hitam" yang boleh menyinggung perasaan pasangan, elok tidak diceritakan. Cuba fahami dia berdasarkan pengalamannya ini agar mudah untuk berasa "rahmah' (belas kasihan) kepadanya.

8. Mungkin terlalu awal untuk memikirkan berapa orang anak, berapa buah rumah hendak dibeli. Tapi cukup dengan membuat ketetapan pengurusan kewangan untuk keluarga. Kebiasaannya duit gaji suami untuk meneruskan pembayaran hutang peribadinya (kereta atau pinjaman pendidikannya), membayar belanja tetap rumah dan barangan tetap keperluan dapur. Pendapatan si isteri pula untuk dia teruskan hutang sebagaimana suami, membeli barangan runcit daput dan menyimpan untuk keluarga (kecemasan, anak-anak, tabung haji, melancong dan sebagainya). Sebab sifat wanita secara semulajadinya suka menyimpan dan berjimat. Ini hanya contoh.

9. Buat ikrar bahawa ingin hidup bersama di dunia hingga ke akhirat dan di tempat makam yang tertinggi di syurga bersama sanak sekeluarga.

10. Ingatkan peristewa ini apabila anda berdua berkrisis. Agar nostalgia berbulan madu ini mampu nanti menjadi penawar kepada kekusutan jiwa nurani anda.

 

Selamat berbulan madu.... Pak Utih 12/8/2014