15 Julai 2014

Bantu Suami Bila Beraya di Rumah Mertuanya

Khas untuk pasangan yang baru berumahtangga terutama sekala kepada suami yang pertama kali beraya di rumah mertuanya. Ini bermakna, suami ini beraya di kampung rumah isterinya.

Biasanya, orang lelaki  tidaklah stres sangat berbanding dengan orang perempuan yang beraya di rumah mertuanya. Sebab dia tidak perlu ke dapur. Tugas dia hanya melayan mertua, adik beradik ipar, saudara mara sebelah isterinya dan jiran tetangga yang bertandang. Kalau dia terasa jemu, mudah saja baginya. Capai kunci kereta, terus ke pekan atau bandar melepak sekejab untuk tenangkan fikiran.

Satu perkara yang isterinya boleh bantu ialah "fesyen" pakaian yang perlu dia pakai sepanjang berada di rumah mertuanya itu. Kebanyakan lelaki ni tidak prihatin untuk memilih pakaian yang sesuai dengan suasana dan keadaan. Maklumlah mata orang lelaki ni dikategorikan sebagai "buta warna" dan mindanya pula tidak ambil peduli keserasian warna warni seperti mana kaum wanita. Jika dibiarkan dia sendiri yang memilih pakaiannya, kemungkinan besar, mertua yang melihatnya, akan hilang rasa hormat kepadanya.

Oleh itu, si isterilah yang WAJIB uruskan pakaian untuk suaminya ini agar dia kelihatan segak mengikut masa dan suasana.

1. Waktu biasa di dalam rumah: Pakai baju melayu (dikeluarkan) dengan kain pelikat. Atau baju kemeja (dikeluarkan) dengan kain pelikat. Tidak perlu pakai kupiah atau songkok melainkan untuk bersolat di dalam rumah itu.

2. Waktu hendak masuk tidur: Pakai baju T dan kain pelikat. (Jangan pakai sebegini untuk solat bersama mertua atau ke surau).

3. Pagi Raya pergi solat hari raya: Pastinya telah tersedia sepasang baju melayu dengan kain samping dan songkok hitam. Sebaik-baiknya tengok dulu pakaian yang ayah mertua pakai. (Biasanya isteri telah maklum fesyen ayahnya semasa hari raya). Jika ayah mertua memakai baju melayu bersamping, maka teruskan dengan pakaian yang tersedia itu. Jika ayah mertua memakai jubah arab, elok "minta kebenaran" daripadanya  memakai baju melayu bersamping. Jika suami memang sudah biasa memakai jubah, elok juga meminta kebenarannya memakai jubah kerana pada kebiasaannya, orang yang baru berkahwin memakai baju melayu bersamping.

4. Berkunjung Berhari Raya ke Rumah Saudara Mara: Teruskan memakai baju melayu  bersamping dan jangan tanggalkan kain samping itu sehingga kembali ke rumah. Nampak tidak "matang" dan tidak "bijak menghormati tetamu" jika berbaju melayu dan seluar tanpa kain samping di pinggang.

5. Tiba di rumah selepas berhari raya: Teruskan memakai baju melayu dan bolehlah tanggalkan samping itu. Sambutlah tetamu yang beraya di rumah dengan pakaian itu. Ini mengambarkan anda telah "penat" berhari raya tadi dan masih sanggup menghormati dan melayan tetamu. Tetamu rasa dihormati. JANGAN pakai baju T dengan kain pelikat waktu ini.

6. Waktu bila boleh memakai baju T dan seluar jeans?. Semasa hendak keluar bersiar-siar dan semasa hendak balik meninggalkan rumah itu.

Pandangan pertama memberi persepsi positif. Oleh itu, pastikan suami anda kelihatan positif dan segak di kaca mata  keluarga anda. Kerana isteri adalah pengurus bagi si suami.

Selamat mengadun suami anda.. Pak Utih 15 Julai.

Selamat Hari Raya

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan