15 Julai 2014

Bantu Suami Bila Beraya di Rumah Mertuanya

Khas untuk pasangan yang baru berumahtangga terutama sekala kepada suami yang pertama kali beraya di rumah mertuanya. Ini bermakna, suami ini beraya di kampung rumah isterinya.

Biasanya, orang lelaki  tidaklah stres sangat berbanding dengan orang perempuan yang beraya di rumah mertuanya. Sebab dia tidak perlu ke dapur. Tugas dia hanya melayan mertua, adik beradik ipar, saudara mara sebelah isterinya dan jiran tetangga yang bertandang. Kalau dia terasa jemu, mudah saja baginya. Capai kunci kereta, terus ke pekan atau bandar melepak sekejab untuk tenangkan fikiran.

Satu perkara yang isterinya boleh bantu ialah "fesyen" pakaian yang perlu dia pakai sepanjang berada di rumah mertuanya itu. Kebanyakan lelaki ni tidak prihatin untuk memilih pakaian yang sesuai dengan suasana dan keadaan. Maklumlah mata orang lelaki ni dikategorikan sebagai "buta warna" dan mindanya pula tidak ambil peduli keserasian warna warni seperti mana kaum wanita. Jika dibiarkan dia sendiri yang memilih pakaiannya, kemungkinan besar, mertua yang melihatnya, akan hilang rasa hormat kepadanya.

Oleh itu, si isterilah yang WAJIB uruskan pakaian untuk suaminya ini agar dia kelihatan segak mengikut masa dan suasana.

1. Waktu biasa di dalam rumah: Pakai baju melayu (dikeluarkan) dengan kain pelikat. Atau baju kemeja (dikeluarkan) dengan kain pelikat. Tidak perlu pakai kupiah atau songkok melainkan untuk bersolat di dalam rumah itu.

2. Waktu hendak masuk tidur: Pakai baju T dan kain pelikat. (Jangan pakai sebegini untuk solat bersama mertua atau ke surau).

3. Pagi Raya pergi solat hari raya: Pastinya telah tersedia sepasang baju melayu dengan kain samping dan songkok hitam. Sebaik-baiknya tengok dulu pakaian yang ayah mertua pakai. (Biasanya isteri telah maklum fesyen ayahnya semasa hari raya). Jika ayah mertua memakai baju melayu bersamping, maka teruskan dengan pakaian yang tersedia itu. Jika ayah mertua memakai jubah arab, elok "minta kebenaran" daripadanya  memakai baju melayu bersamping. Jika suami memang sudah biasa memakai jubah, elok juga meminta kebenarannya memakai jubah kerana pada kebiasaannya, orang yang baru berkahwin memakai baju melayu bersamping.

4. Berkunjung Berhari Raya ke Rumah Saudara Mara: Teruskan memakai baju melayu  bersamping dan jangan tanggalkan kain samping itu sehingga kembali ke rumah. Nampak tidak "matang" dan tidak "bijak menghormati tetamu" jika berbaju melayu dan seluar tanpa kain samping di pinggang.

5. Tiba di rumah selepas berhari raya: Teruskan memakai baju melayu dan bolehlah tanggalkan samping itu. Sambutlah tetamu yang beraya di rumah dengan pakaian itu. Ini mengambarkan anda telah "penat" berhari raya tadi dan masih sanggup menghormati dan melayan tetamu. Tetamu rasa dihormati. JANGAN pakai baju T dengan kain pelikat waktu ini.

6. Waktu bila boleh memakai baju T dan seluar jeans?. Semasa hendak keluar bersiar-siar dan semasa hendak balik meninggalkan rumah itu.

Pandangan pertama memberi persepsi positif. Oleh itu, pastikan suami anda kelihatan positif dan segak di kaca mata  keluarga anda. Kerana isteri adalah pengurus bagi si suami.

Selamat mengadun suami anda.. Pak Utih 15 Julai.

Selamat Hari Raya

 

4 Julai 2014

Nak Ajak Isteri Beraya di Kampung Rumah Suami

Memang megah dan seronok, terutama sekali yang baru berumahtangga, bawa isteri beraya di rumah kampung sendiri. Pastinya akan pulang seawal dua atau tiga hari berpuasa bersama keluarga sebelum menyambut kedatangan Syawal. Terasa hebat kejantanan apabila hari raya kali ini berstatus seorang suami membawa isteri beraya di kampung.

Bagaimana pula perasaan sang isteri baru itu,  adakah juga berasa gembira dan terharu mendapat undangan pertama kali beraya di rumah orang lain?.

Wahai suami baru, isteri anda tidak gembira sebagaimana anda rasai. Walau bagaimanapun, dia tidak akan menolak undangan anda kerana dia ingin juga mengamalkan sifat-sifat  ketaatan dan kesetiaan kepada suaminya untuk kali pertama ini. Namun kegelisahannya pasti bergoncang sebaik saja suami menyuarakan hasrat beraya di kampungnya.

Apa yang dia risaukan?

1. Sampai di rumah nanti, siapa yang perlu dia layan dulu?

2. Bilik mana dia akan tidur dan bagaimana menguruskan bilik tidur itu?

3. Apa hadiah yang perlu dibeli dan untuk siapa?

4. Apakah dia perlu ke dapur memasak untuk keluarga atau hanya membantu?

5. Bagaimana nak basuh baju kalau dijangkakan seminggu di rumah itu?

6. Adakah perlu dia sentiasa bertudung di rumah itu.

7. Apa perlu dia buat pada pagi raya dan kalau tetamu datang beraya di rumah itu?

8. Bagaimana nak melayan ipar-ipar dan anak-anak saudara yang datang ke rumah  nanti?

9. Banyak lagi yang dia fikirkan... (tolong tambah)

 

Oleh itu wahai suami, elok kita bantu ringankan stres isteri ini agar dia terasa kehadiran dia nanti di rumah barunya itu dihormati dan difahami.

1. Elok berpuasa di rumah ibubapanya dahulu dalam dua tiga hari sebagai kunjungan hormat menyatakan kepada ibubapanya yang tahun ini anak perempuan kesayangan mereka itu tidak akan beraya bersama mereka.

2. Sebaik-baiknya rancang beraya di kampung hanya tiga malam sahaja. Jika dah ambil cuti seminggu, pada malam keempat, elok pergi ke tempat lain, dan malam ke lima baru tidur di kampung semula untuk dihabiskan hari cuti itu. Ini bertujuan untuk memecahkan "monotonous" kebosanan dan  mengurangkan stres isteri yang masih baru di rumah itu.

3. Senaraikan semua aktivit harian ibu anda daripada bangun sahur hingga dia masuk tidur. Kemudian terangkan kepada isteri agar isteri tadi tahu pergerakan seharian ibu mertuanya itu dan melayan ibu mertuanya mengikut aktiviti rutinnya. Dengan ini isteri tadi tidak kekok dan mudah untuk dia mengenali ibu mertuanya.

4. Terangkan juga masakan-masakan kegemaran ibu itu semasa bersahur, berbuka dan hidangan raya agar isteri anda boleh "google" recipe berkenaan sebagai persediaan membantu mertuanya  di dapur.

5. Terangkan juga hadiah-hadiah yang menjadi minat ibu dan ayah. Jika anda sebagai lelaki tidak tahu (memang tak tahu pun) elok tanyalah kakak atau adik perempuan anda mengenai hal ini. Mereka boleh membantu. Dan sesampai di rumah nanti, biarkan isteri anda yang menyerahkan hadiah itu  kepada ibu dan ayah anda. Ini memberikan pandangan pertama yang positif daripada ibu dan ayah anda kepada isteri anda. Isteri juga terasa dihormati.

6. Jika berkumpul sanak saudara beramai-ramai, jangan tinggalkan isteri anda kesaorangan. Duduk bersama dia melayan dan membantu  menjawab soalan-soalan daripada sanak saudara yang kadang-kadang itu sengaja melontarkan soalan "mengena" terutama sekali yang berlainan dialek. Kecewa isteri anda jika dia terasa dipermain-mainkan terutama sekali anda tidak "membela"nya.

7. Jika isteri mengadu dan mengomen itu ini mengenai keadaan dan perangai orang-orang di rumah itu, jangan terus menghentamnya. Isteri anda sedang "mengorientasi" atau "menyelami" atau "kondisi" suasana baru di rumah barunya itu. Dengarlah perkataannya dan jawablah dengan kasih sayang agar penjelasan anda itu dapat diterima sebagai rasa belas kasihan.

8. Kalau isteri anda segan pada peringkat awal bertanya kepada mertua atau iparnya untuk dia membuat sesuatu kerja rumah, temanilah dia hingga dia sudah yakin untuk buat sendirian. Comtohnya menggunakan mesin basuh dan menyidaikan kain di ampaian dan sebagainya yang teknik, teknologi dan amalannya amat asing bagi isteri anda.

9. Jika ada perkara yang dia tidak puas hati, elok dibincang di dalam bilik atau tempat yang ada "privacy". Di hadapan keluarga, anda berdua MESTI kelihatan ceria dan bahagia.

10. Sebelum meninggalkan  mereka, jangan lupa isteri anda yang hulurkan wang raya semampu yang anda ada, kepada ibu dan ayah. Untuk yang lain-lain itu adalah sunat. Ini mengikatkan lagi belas kasihan mertua kepada isteri anda.

11. Sesampai di rumah anda, suruh isteri anda telefon ibu memberitahu anda berdua telah selamat sampai di rumah. Ini juga menambah ikatan mereka berdua.

 

Selamat mencuba - Pak Utih... boleh "share".