19 Jun 2014

Bila isteri ubahsuai hiasan dalaman

Gambar hiasan sahaja

Pada kebiasaannya kita pulang ke rumah dari tempat kerja, dengan minda yang masih memikirkan urusan kerja yang belum selesai, terus ke bilik tidur menanggalkan pakaian, mandi, solat dan mengenakan pakaian rumah. Dengan rasa segar, kita pun terus ke sofa melabuh badan sambil mencapai kopi panas yang disediakan oleh isteri. Sambil mencapai “remote control” tv, untuk mencari saluran-saluran yang kita minati, kita baru perasan yang susun atur ruang tamu itu telah berubah dengan sedikit tambahan jambangan bunga yang cantik di sudut bilik yang menambahkan keceriaan suasana.


Sedang kita menikmati rencana di skrin tv bersama kopi panas, isteri pun duduk di sebelah dengan menyimpulkan senyuman yang lain daripada biasa. Dia seolah-olah menantikan sesuatu daripada kita. Tetapi minda kita terus menumpukan minat terhadap rencana yang menayangkan seekor harimau bintang sedang mengejar mangsanya. Sifat kejantanan kita terasa puas apabila harimau itu dapat menangkap mangsanya.


Abang, berapa agaknya harga jambangan bunga tu? Abang tahu tak?”, isteri memulakan perbualannya sambil memaparkan wajah yang tersimpul manja.


Mata dan minda kita yang masih tertumpu kepada rencana di tv, terus menjawab selamba, “Entah, abang tak pernah beli bunga”. Sebaik saja kita menyatakan kebenaran itu, kelihatan wajah isteri berubah menjadi tawar. Memahami perangai isteri, cepat-cepat kita memberikan pandangan lain untuk menyokong kebenaran jawapan tadi, “Mahal ke? Mengapa tak beli bunga tiruan aje”.


Bila dengar sahaja komen kenyataan daripada kita, dia terus bangun menghentak kaki berjalan ke dapur sambil berkata, “Abanglah beli sendiri”. Kita pun terpinga-pinga. Apa salah kita? Cakap sikit sudah merajuk! Tak fahamlah isteri ni!. Hanya menyatakan kebenaran diri sendiri, dia dah naik marah. Sepatutnya riang gembira suasana petang, "rumah itu syurga ku" telah bertukar menjadi "rumah itu cuka ku".


Mengapa boleh terjadi? Mari kita analisis sketsa ini dari "dalam kasut" isteri kita.


Semasa ketiadaan kita , selepas letih membasuh pakaian dan memasak, isteri kita pun rehat sebentar di ruang tamu sambil menonton siaran pagi di tv. Dapatlah dia mengumpul sedikit tenaganya untuk bekalan kerja rumah lain yang belum selesai. Sambil itu matanya meninjau keliling ruang tamu yang hampir sebulan tidak diubahsuai susunaturnya. Timbul rasa di hati untuk mengubahnya demi keceriaan diri dan suaminya. Bingkas dia bangun dari sofa dan terus bertindak.


Bersendirianlah dia mengangkat, mengubah kerusi, meja, rak-rak dan sebagainya. Berbagai-bagai susun atur dicuba agar selari dengan konsep yang tercipta di dalam lubuk hatinya. Dan akhirnya dia melengkapi keceriaan suasana ruang tamu dengan sejambak gubahan bunga asli yang dibelinya di pasar. Harapannya amat tinggi agar ciptaannya ini mendapat pujian daripada suami tersayang.


Bila terdengar sahaja bunyi tapak kasut suaminya masuk ke depan rumah, hatinya berdebar-debar menantikan kata-kata indah dari suaminya laksana menunggu juru acara majlis Oscar Award mengumumkan pemenang "Pelakon Terbaik". Bila kita masuk sahaja ke dalam rumah, hatinya bertambah berdebar dan terpantul ukiran senyum tanpa darah di bibirnya. Tetapi alangkah sedih di hatinya apabila kita terus ke bilik tidur, tidak perasan akan perubahan di ruang tamu. Namun begitu dia masih menaruh harapan apabila suaminya minum di hadapan tv nanti. Rasa kecewa juga kerana suaminya lebih berminat kepada rencana di tv. Bertambah kecewa apabila kita mengkritik harga bunga bukan keceriaan bunga itu. Jelaslah yang suaminya ini jenis manusia yang tidak menghargai usaha murninya. Bukan hari ini sahaja, sudah banyak kali sumbangannya tidak dihargai.


Kita pula memanglah jenis manusia yang tidak perasaan akan perubahan yang berlaku di dalam rumah dan juga pakaian yang dipakai oleh isteri. Kajian oleh seorang penyelidik sosial di Kuala Lumpur menunjukkan hanya 10 peratus suami yang ingat warna tudung yang pakai oleh isterinya semasa sama-sama keluar ke pejabat. Sembilan puluh peratus lagi menyatakan tidak ingat atau salah warna. Memang minda lelaki kurang memberikan tumpuan kepada perkara “remeh’ itu jika dibandingkan minda perempuan.


Oleh itu, para suami yang dimuliakan, pandang-pandanglah dan dengar-dengarlah sekitaran di dalam rumah sebaik sahaja kita pulang. Bila nampak susunan baru atau lebih berseri rumah pada hari itu, maka janganlah kedekut untuk mengatakan, "Wow! is this my house?”. Pasti anda akan lihat isteri kita tersipu-sipu senyum kepuasan. Jika kita dapati sesuatu susunan yang tidak sesuai pada pandangan kita, jangan terus kritik, biarkan isteri sendiri yang menceritakan kelemahan rekaciptanya itu. Memang secara kebiasaannya, apabila kita puji susunatur itu, dia akan terus menyatakan kelemahan ciptaannya, seperti, "Tadi I dah banyak kali ubah bunga tu, tapi tingkap tu juga yang ganggu, blah blah blah ….".  Kitapun pujilah lagi dan lagi dan lagi.. Maka terhiburlah hatinya. Bahagialah kita pada hari itu. Maka dapatlah kita nkmati “Rumahku syurga ku”.


Selamat mencuba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan