30 Jun 2014

Kursus Motivasi Taqwa

1. TUJUAN:  Kursus 30 hari 30 malam yang diwajib pada orang beriman setiap tahun di bulan Ramadhan ini ialah untuk menambahbaiki dan meningkatkan keimanan agar orang-orang beriman istiqamah menjalani kehidupan dakwah di dunia ini.


2. OBJEKTIF: Diakhir kursus semua peserta dapat memiliki sifat Taqwa.


3. TEMPAT KURSUS: Di mana saja peserta itu tinggal dan sebaik-baiknya tempat dia bermustautin.


4. JANGKAWAKTU : 30 hari 30 malam


5. FASILITATOR: ALLAH SWT.


6. NOTA DAN BAHAN KURSUS: 30 Juzuk Al Quran (dibaca setiap malam 1 juz)


7. BAYARAN PERCUMA: Niat sahaja sudah memadai untuk berdaftar.


8. ATURCARA:




  • Simulasi sebelum subuh - bangun solat tahajud, sahur.

  • Simulasi jadi malaikat siang hari (Tiada nafsu dunia) bermula waktu subuh hingga maghrib.

  • Simulasi menunggu arahan Allah dan laksana dengan segera (berhenti makan sebelum waktu subuh dan mula makan masuk waktu  maghrib).

  • Simulasi menjadi Malaikat sentiasa beribadah kepada Allah melalui solat Terawih.

  • Simulasi sebagaimana Rasulullah saw bertadarus Al Quran dengan Jibril as. (ikut kelapangan dan sebaik2nya satu juzuk satu malam.

  • Anugerah Sijil Peneyertaan dan Cemerlang Taqwa disampaikan oleh Jibril as hanya di masjid pada malam Lailatul Qadar. Oleh itu sila hadir di 10 malam terakhir iktikaf untuk mendapat sijil tersebut.

  • Penilaian Taqwa (Self Appraisal) apabila dapat sambung simulasi kursus ini 6 hari pada bulan Syawal berikutnya.


Selamat Berkursus - Pak Utih ( 1 Ramadhan)


 

26 Jun 2014

Jika Suami Merajuk - "Disconnect him".

Ingat isteri sahaja ke yang boleh merajuk? Suami pun merajuk juga. Tetapi merajuk suami mudah sikit daripada isteri. "Straight forward" je.


Suami ni jarang merajuk di pejabat. Jika didapati dirinya tidak diadili atau terasa dianiaya oleh ketuanya atau rakan sekerjanya, dia bangun melawan menentang secara berdepan atau di belakang. Dia tidak akan bawa diri merajuk tak mahu pergi kerja. Tetapi mengapa di rumah dia boleh merajuk?


Suami pulang ke rumah, biasanya telah ada agenda yang simple yang telah  diprogramkan di dalam kepalanya iaitu "MAKAN -MAIN-TIDUR". Baginya, dia telah memerah segala tenaga dan otak di luar rumah atau di tempat kerja, dan kembali ke rumah adalah tempat dia recharge atau top up hormon testosteronenya itu. Jadi tiga aktiviti di atas adalah cara untuk top -up hormon itu agar dia kembali ceria cergas dan cerdas untuk urusan esoknya.


Tetapi apabila dia tiba di rumah, dia bukan sahaja tidak mendapat sambutan sebagai seorang hero atau ketua keluarga daripada isterinya, malah dapat teguran atau "buat muka masam" oleh isteri disertai dengan komplain hal rumahtanggan yang tak selesai. Kekadang tu, suami sudah tersedia dengan berita baik mengenai kejayaan dia di pejabat tadi yang menyebabkan dia terpaksa balik lambat sedikit dan terlupa nak pesan kerana urusan kejayaan itu. Alangkah kecewanya dia. Tak sempat nak kongsi kejayaan, dia telah diserang dengan "mesin gun", "Mengapa lambat, mengapa .. mengapa.. mengapa??".


Darah panas barannya mula meluap. Amagdala di dalam otaknya mula memanaskan lagi kecewanya. Dia tahu kalau dia tunggu, perang besar akan terjadi. Untuk menyelamatkan keadaan, dia mendiamkan diri, pergi mandi, makan apa yang terhidang di atas meja (jika ada). Kalau geramnya ditahap maksimum, kueh itu pun tak disentuhnya. Capai kunci motosikal atau kereta, terus ke kedai mamak tempat pertemua suami-suami merajuk. Mereka matikan handphone, berboraklah dengan isu-isu kejantanan yang terkini hingga diri terasa hormon testosterone nya kembali fully charged untuk bekalan esok harinya.

Jika mereka terasa tidak dihormati oleh isteri, mereka membisu dan keluar rumah bertemu teman-teman senasib untuk melegakan jiwa mereka.

Apa perlu isteri buat jika tidak mahu suami merajuk?

1. Niat untuk hiburkan suami sebaik sahaja dia pihak pintu rumah.

2. Sambut dia dengan senyuman dan ungkapan yang menyebabkan dia rasa dihormati seperti, "Alhamdulilah Abang dah balik, Seronok rasa", atau "Wow hero dah balik!".

3. Kalau tak sempat sambut di pintu, wakilkan anak kecil menyambut dia di pintu atau kucing.

4. Sediakan kudapan dan minuman kesukaannya sebaik sahaja dia sampai. Ingat ya "MAKAN-MAIN-TIDUR"

5. Sedang dia menikmati makanan tu, barulah minta kebenaran untuk mengadu dengan ungkapan, "Abang, saya nak mengadu hal anak2 ....(apa sajalah) tapi saya mahu abang dengar je tau, tok sah nak tolong selesaikan. Saya mahu Abang dengar aje ok.. 10 minit je". Insya Allah suami anda boleh dengar dengan tenang.

6. Kalau nak minta dia tolong kerja rumah, gunakan ungkapan ini, "Abang, lepas minum, tolong tukarkan lampu dapur tu ya, saya tak pandai, Abang sorang je yang pandai tukarnya. Takut ada orang datang malam ni (wujudkan keadaan kecemasan untuk ketukkan mindanya. Jika tidak kecemasan, dia tak teruja nak buat).

6. Kalau dia kata, "Nanti Abang tolong, tapi Abang nak tengok berita kat TV jab", terimalah permintaannya itu kerana dia sedar yang tenaganya belum cukup untuk bantu kerja rumah masa itu. Beri peluang dia "MAIN" sekejab untuk dia top up hormonnya.

Apa perlu isteri buat jika suami dah merajuk?

1. Bersyukurlah dia keluar daripada rumah atau menjauhkan diri daripada isterinya kerana mungkin jika dia tunggu, akan menggunakan kekerasan dan keganasan untuk tenteramkan jiwanya. Biarkan dia.

2. Jangan hubungi dia semasa dia sedang "merajuk". Biarkan dia sendirian di dalam biliknya atau bersama teman-temannya dia kedai mamak itu.

3. Bila dia pulang ke rumah, naik atas katil, jangan membelakangkannya. Peluklah dia. Bisik kat telinganya "I love u".

Selamat mencuba.

Pak Utih





24 Jun 2014

Isteri Merajuk Suami Mesti Pujuk

Bila Isteri Merajuk...
 

Kita balik dari pejabat terus ke rumah dengan niat nak mandi sekejap, sembahyang 'asar kemudian capai reket badminton terus ke gym beriadah dengan sahabat-sahabat untuk memenuhi tuntutan jasmani kita. Tetapi setibanya di rumah, belum sempat kita buat apa-apa, isteri kita dah minta tolong belikan itu dan ini dan macam-macam lagi. Disebabkan dah berjanji dengan sahabat untuk tepat sampai ke gyn jam 5.30 petang kerana sewa bermula jam 5.30 dan juga kenalah jaga imej sebagai seorang yang amat menepati masa, maka kita terus aje memberikan alasan untuk tidak mahu pergi ke kedai beli barang dengan berkata,


"Eishh!, takkan benda-benda kecik tu pun abang belikan, pergilah beli sendiri atau suruhlah Kak Long tu beli, bukan jauh pun kedai tu..." kita mula berleter dengan harapan pandangan kita tadi diterima dengan hati yang terbuka. Tetapi belum sempat kita menarik nafas untuk meletakkan "full stop" komen kita tadi, meletup isteri kita menyembur macam machine-gun kata-kata kecewa kerana kita tak mahu tolong dia. Keluarlah macam-macam peristewa silam yang dulu-dulu tu kesilapan-kesilapan kita tak mahu tolong dia. Sampai ke peringkat dia kata,


"YAH, TAK MAHU LAGI MASAK UNTUK ABANG, ABANG NAK MAKAN KUIH SEDAP-SEDAP, PI BELI SENDIRI... YAH FED-UP DENGAN ABANG!.." sambil dia masuk ke dalam bilik tidur, menghempas pintu "Begedegum!" terus membenam dalam tilam nostalgia kita tu.


Kita pun terpinga-pinga dibuatnya. Apa salah aku. Takkan sebab tak mahu ke kedai dah merajuk tak mahu masak untuk kita!.. pening kepala. Lagi pening kalau anak-anak juga terpinga-pinga di belakang tirai pintu bilik masing-masing melihat lakunan "heavy drama" ayah dan ibu mereka ni.


Kita mula naik geram, nak ditanggalkan terus bermain badminton, rasa pula tak boleh nak tumpu kepada permainan. Nak tunggu hingga isteri tu reda, entah bila pula merajuknya tu reda. Biasanya sampai 2-3 hari, malah kadang-kadang mencecah hingga seminggu baru dia mengorat kita semula. Kita pun telefon sahabat minta excuse. Duduklah kita kat rumah tu membereskan kerja-kerja yang isteri kita tinggalkan tadi. Itupun kot-kotlah ada suami-suami yang nak buat.


Apa silapnya kita? Apa yang mesti kita buat?


1. Pertama sekali, kita mesti terus ingatkan nasihat dari Allah dalam Surah An-Nisa' ayat: 19 bermaksud: " ...... Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya) janganlah kamu terburu-buru (menceraikannya), kerana boleh jadi kamu benci sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."


Adalah hikmahnya pada hari itu yang Allah takdirkan berlakunya merajuk oleh isteri kita tu. Kita tidak mampu menjangkau ilmuNYA. Kemungkinan jika isteri tu tidak merajuk, maka kita terus ke gym dan di sana mungkin kita terkena bala atau musibah yang kita sendiri tidak mampu memikulnya.


2. Sebaik-baiknya, kita biarkan dia melepaskan rajuknya itu mengikut kepuasannya. Biasanya mereka lebih sabar dari kita. Banyak perkara-perkara yang menyinggong hatinya yang kita buat sebelum ini, mereka tidak marah. Mereka mengalah dan simpan. Kita pula jenis yang tidak sedar kesilapan yang kita telah buat. Malah ada dikalangan kita yang tiada perasaan pun.Isteri kita tu sabar dan menyimpan semua peristewa-peristewa itu dalam "hardisk" mereka. Tetapi apabila hardisk tu dah penuh, maka masanya akan tiba juga untuk depa semburkan kesemua files kepada kita. Proses semburan ni pun tidak lama. Paling tinggi 10 minit. Lepas tu depa akan lari masuk ke dalam bilik dan membasah bantal dan tidak mahu bercakap dengan kita. Dari sudut fisiologinya, depa dah "lega" lah tu.


3. Kita pula mestilah mengalah sikit. Jika merajuknya tu berpunca dari kes yang berat-berat, maka tunggulah besok barulah kita cuba-cuba pujuk dia. Jangan malam itu juga cuba nak pujuk, nanti tak pasal-pasal kena sesiku sulongnya di dagu kita. Biarkan besok barulah cuba-cuba. Jika tak menjadi, cuba lagi dengan strategi lain. Tetapi jangan putus asa. Dan jangan pula ego tak mahu pujuk dia.


4. Bila isteri kita tu dah mula nampak nak "mengorat" kita kembali, maka cuba kita jadikan ia sesuatu yang positif. Dia akan segan-segan silu meminta sesuatu dari kita. Kadang-kadang dia menggunakan anak kita sebagai posman. Inilah masa yang amat indah bagi pasangan yang sudah berkahwin bertahun-tahun. Peristewa isteri mula nak mengorat selepas merajuk ni, laksana kita mula-mula bercinta dulu. Rasa cinta akan menyegar kembali. Senyum-senyumlah padanya jika dia mula nak mengorak senyum. Sentuh-sentuhlah dia apabila dia buat-buat terlanggar kita. Lupakan kata-kata kesatnya 2-3 hari yang lepas semasa dia "tidak siuman" itu. Lafazkan kata cinta padanya.


5. Tapi awas ya, jangan biarkan lama sangat rajuknya tu. Jangka waktu seminggu adalah paling maksimum. Selepas dari itu, kita kena rujuk Surah An-Nisa' ayat 34: untuk tindakan kita selanjutnya:


"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khuawatirkan nusyuz, maka nasihatilah mereka dan (jika mereka berdegil)pisahkan mereka dari tempat tidur dan (kalau mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."


6. Jangan pula kita berdoa agar dia merajuk hari ini. Minta dari Allah untuk hindarkan perkara-perkara yang memberatkan kita dengan doa setiap kali kita bertemu dengan isteri kita:


" Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikan dari isteriku dan kebaikan fitrah tabiat yang telah Engkau tentukan, dan aku juga berlindung kepadaMu dari keburukan isteriku serta keburukan fitrah tabiatnya yang telah Engkau tentukan".


Selamat menantikan isteri merajuk



- Pak Utih -

22 Jun 2014

Masa Kualiti Tidak Mahal

LOVE is... the little unexpected things that make a life together.
 

Kita kembali dari pejabat dengan segala penat lelah 8 jam di pejabat (kadang-kadang tu ditambah pula lelah di jalanraya yang "jamnya" memanjang-manjang. Sampai di rumah, isteri kita pula dengan wajah yang penat lelah menguruskan anak-anak kita yang "buas" tu (jika ada anak lah). Jika isteri kita bekerja pejabat, sama-sama balik dari kerja, maka sama-samalah kita berpenat lelah. Lebih parah lagi kita bergayut dalam bas atau LRT  dan isteri kita berimpit dalam komuter. Sampai di rumah, sama-sama tak sempat nak bertegur sapa, terus berdengkur atas katil. Dia pandang ke barat kita pandang ke timur. Bagi yang aktif pula dengan masyarakat atau jamaah, maka waktu-waktu yang SECOND-HAND itulah digunakan untuk kerja-kerja kebajikan dan dakwah. Mana pula ada masa nak bersenda gurau dengan isteri dan anak-anak di rumah. Itulah kehidupan sebahagian dari kita.


Hujung minggu pula, program jamaah dan persatuan telah menanti untuk kita menggerakkannya. Jika kita dan isteri kita sama-sama aktif, maka semua anak pinak, kita angkut bersama-sama di dalam program itu. Maka jadilah ia seperti berprogram di dalam bilik darjah sebuah tadika atau taman asuhan. Anak-anak memang enjoy dengan suasana tersebut. Sebab jika kelakar yang mereka buat itu paling "berani", maka mereka akan mendapat perhatian dari Pak Cik-Pak Cik dan juga Mak Cik-Mak Cik. Selesai berprogram, kita kembali ke rumah untuk bersedia menjalani kehidupan harian yang serupa dari minggu ke minggu.


Apa silapnya kita?...tiada silap, malah kita sepatutnya bersyukur kerana dapat memenuhi masa kita dan keluarga kita dengan kerja-kerja yang berfaedah. Tapi alangkah indahnya jika sekali -sekala kita "break the monotonous" itu hanya bersama-sama dengan isteri kita sahaja. Berdua berpegangan tangan ke restoren-restoren mewah atau "window shopping" di komplex mewah sekali-sekala. Kita pakat-pakatlah dengan jiran kita untuk menjaga anak-anak kita. Lupakan kerja-kerja pejabat, jamaah dan kebajikan pada detik-detik ini. Ucaplah kata-kata indah, genyit-genyitkan mata, kenangkan kembali saat-saat indah semasa berbulan madu dahulu... Jangan buat selalu, tapi cukup 3x dalam setahun. Itu pun berdasarkan kesibukan atau status kewangan kitalah. Kita rancang bersama isteri kita tarikh-tarik ini. Lebih indah lagi jika tarikh-tarikh ini bertepatan dengan tarikh-tarikh istimewa masing-masing.


Kesannya, menghuraikan kekusutan fikiran terutama sekali isteri kita. Isteri kita yang full-time di rumah atau part time ke, MEMANG menanti-nantikan waktu-waktu tersebut. Maka setahun yang berlalu, bagaikan sehari yang lepas jika mereka dapat meni'mati waktu-waktu ini.. Ada juga yang tidak mahu tetapkan tarikh-tarikh ini. Mereka suka membuat "surprise" pada isteri. Tapi awas!.. takut-takut terlupa nak "surprise". jadi isteri pula yang tak "surprise" jika kita tak bawa dia ke tempat-tempat itu.


Isteri kita adalah pakaian untuk kita dan kita adalah juga pakaian untuk mereka. Kita ada hak terhadapnya dan dia juga ada hak terhadap kita. Maka tunailah hak-hak mereka dengan baik mengikut kemampuan kita. Bersyuralah dengan mereka. Walaupun isteri kita itu hanya pandai menguruskan rumah kita sahaja.


Selamat mencuba.



- Pak Utih -

20 Jun 2014

Bila anak menyusu badan, ayah gigit jari

Tip untuk mengurangkan bayi bergayut dengan ibunya


Ada seorang ibu mengadu, selepas dalam pantang, dia dan suaminya telah hampir setahun tidak bersama. Punca mereka tidak bersama ialah dia akui dia lebih  utamakan anaknya terutama sekali tidur malam-malam. Bayinya itu tidur sebelahnya. Budak itu pula tidak mahu berpisah jauh daripadanya. Asyik meragam malah boleh "meraung-raung" jika dia lambat merebah badan di sisi anak kecilnya itu. Biasanya kalau keadaan begini, suami akan tidur membelakang menghadap dinding. Kesian dia.


Mengapa boleh terjadi demikian?


Asas pergaulan suami isteri ialah:


"... Dan bergaullah dengan mereka (isteri) secara yang paling baik (ma'ruf). Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu (terhadap perangai isteri), padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak". An Nisa':19


Suami bertanggungjawab memimpin isteri. Kita kena banyak bersabar atas karenah isteri kerana semuanya itu adalah pahala dan kebaikan yang banyak dari Allah jika kita mampu mengurusnya.


"Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan isteri kamu, mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamupun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu...." Al Baqarah: 187.


Berdasarkan keizinan dari Allah ini kepada suami untuk mencampuri isterinya di malam bulan puasa, menunjukkan satu penghormatan kepada wanita yang bernama isteri yang mampu menyelamatkan nafsu suami. Allah Maha Mengetahui atas kelemahan suami terhadap kehendak hubungan kelamin ini. Dengan ini kenyataan "isteri dijadikan tempat memuaskan nafsu suami" perlulah kita lihat dari sudut yang positif. Ia adalah satu ibadah sebagai suruhan Allah kepada isteri untuk menyelamatkan kehendak nafsu suami ini.


Mari kita renung kembali ayat di atas tadi, sedangkan berpuasa selama 12 jam di siang hari pun telah menyebabkan suami (tak semua le kot) tidak dapat menahan nafsunya, apa lagi yang terpaksa menunggu lepas bersalin dalam pantang 40-100 hari. Ditambah pula halangan-halangan dari anak kecil yang diletakkan di tengah-tengah tidur sekatil berbulan-bulan lamanya. Bila "Eeek" saja anak kecil tu, cepat dapat habuannya. Sebaliknya,  jika "Eeek" ayahnya pula, gigit jarilah jawabnya.




Apa yang boleh kita buat:


Bak kata pakar-pakar motivasi keluarga bahagia, komunikasi kedua pasangan suami isteri amatlah penting sekali demi kebahagian mereka. Bersyura dalam membuat keputusan amatlah dituntut.


"Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma'ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (berhenti menyusu badan) sebelum dua tahun dengan kerelaan keduanya dan bersyura, maka tidak ada dosa atas keduanya..." Al Baqarah:233


Jika punca isteri tidak dapat melayani suami kerana kehadiran anak kecil ini, pada pandangan saya, di sana ada jalan penyelesaiannya. Konsep ayat di atas tadi ialah "janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya".. menunjukkan kita boleh berbuat sesuatu kepada anak itu demi keperluan dan kehendak kita suami isteri.


Cuba kita lihat kebanyakkan isteri-isteri sama ada full-time-housewife atau part-time house wife, nampak tersiksa mendukung anak kecil di sebelah kiri dan di sebelah kanannya pula anak yang berumur 3 tahun bergayut jubah umminya ke hulu ke hilir ke mana saja umminya pergi. Dan bukan ayahnya tak mahu tolong tetapi memang anak-anak itu terlampau bergantung kepada umminya. Nampak sekali imbas menggambarkan isteri tadi seorang yang penyayang tetapi dua kali imbas memaparkan kesilapan sendiri terlampau memanjakan anak pula.


Jika kita boleh didik anak-anak ini agar lebih berdikari pada usia yang lebih singkat, pastinya isteri kita tadi lebih cepat bebas dan boleh berfungsi sebagai seorang isteri yang produktif kepada suaminya dengan kadar yang lebih segera. Bila umur anak tu meningkat 8 bulan, sudah boleh tidur di bilik yang berasingan. Maka dengan ini, ibu dan ayah mereka ini akan lebih cepat kembali menjadi pasangan yang sedang berbulan madu dan lebih mobile dalam kerja-kerja dakwahnya.




BAGAIMANA CARANYA?


Kaedah ini diberikan oleh Prof Madya Rohana Alias, UiTM Arau.  Bila anak kecil itu berumur 8 bulan, pada jam 9.00 malam atau lebih sedikit, berikan anak itu menyusu badan hingga dia kenyang. (Laparkan dia pada waktu senja tu). Kemudian tidurkan anak itu di bilik lain yang berpisah dari bilik tidur anda tetapi biarlah boleh anda dengari tangisannya. Apabila dia menangis kali pertama, tunggu 5 minit barulah anda menghampirinya dengan hanya menepuk badannya sahaja. (jangan angkat atau dukungnya). Bila senyap, tinggalkan. Bila dengar dia menangis kali kedua, tunggu 10 minit pula, baru anda menjeguknya. Kali ini jangan tepuk, hanya tunjukkan muka yang anda sedang melihatnya. Bila dia senyap, maka tinggalkan. Bila dia menangis kali ketiga, tunggu 15 minit, baru menjenguknya. Biasanya selepas ini dia akan terus lena hingga ke pagi. Teruskan tektik ini untuk malam yang berikutnya. Biasanya selepas malam ketiga, anak ini telah faham akan peraturan yang telah kita jalankan kepadanya. Apabia anak itu sudah boleh berjalan, dengan mudah dia sendiri akan masuk ke bilik tidurnya  tepat masuk waktu 9.00 malam. Anak itu lebih berdikari. Umminya akan lebih berseri. Ayahnya pasti tidak gigit jari lagi.


Cubalah.


Wassalam


- Pak Utih -

Tip nak tegur isteri tak pandai masak

Kisah isteri tak pandai masak tapi rajin..

Saudara MRO menulis:


Malangnya, masakan isteri Abu tak sedap langsung. Tiap kali pulang dari surau, si Abu ditanya oleh isterinya, "Abang, macam mana masakan I? sedap tak.?" Itulah soalan yang kerap diterima setiap hari Isnin dan Khamis. Si Abu berasa sangat terharu. Nak berterus terang yang kuehnya itu tak sedap, takut isterinya kecewa. Isterinya ni pula cepat merajuk dan susah pula nak dipujuk. Nak ditelan makanan tu dah tak boleh masuk. Begitulah kisah suami di dalam dilemma.


Mahfuz Sapiee pula mencelah:


Menarik juga poin yang diajukan oleh saudara MRO ini. Seringkali kita berasa serba-salah dalam menjaga hati isteri. Dalam keadaan di atas, kalau kita bercakap benar isteri merajuk, kalau kita ber`bohong' isteri akan masak macam tu lagi.



Mengapa perkara ini boleh memeningkan kepala suami?


Bagi suami yang mendapat isteri yang pandai memasak, rajin memasak, suka tengok orang makan masakannya dan cekap memasak untuk orang ramai, kita adalah suami yang beruntung.


Tetapi awas, jika kita seorang pendakwah, maka ini adalah ujian dan peluang yang jangan diabaikan daripada Allah SWT untuk kita bersama-sama dengan isteri yang mempunyai kemahiran ini, melakukan dakwah melalui jemputan makan-makan di rumah kita.


Kaedah pertama yang dilakukan oleh Baginda SAW berdakwah terhadap keluarga terdekatnya ialah menjemput mereka makan kenduri di rumah Baginda SAW. Pastinya Saidatina Khadijah (rha) telah menyediakan yang sedap untuk mereka.


Oleh itu, bantulah isteri ini dari segi persediaan memasak, menghidang dan membasuh pingan-mangkuk-periuk selepas program tersebut. Selalunya apabila isteri kita dah masak tu, kita take for granted yang dia juga pakar membasuh pinggan dan kuali-periuk. Maka kita tinggalkan dia bersendirian bertungkus lumus mengasah dan membasuh bakatnya disitu pula. Kesian dia. Sudahlah dia letih memasak, basuh pingganpun dia kena juga.


Oleh itu, pujilah masakannya tadi dan bersama-samalah menyingsing lengan baju tu menggilap pinggan-mangkuk dengan sentuhan ajaib "axion".


Bagi suami yang ditakdirkan berjodoh dengan isteri yang tidak pandai memasak, apalagi tak tahu memasak jamuan untuk orang ramai, maka kita juga ada ujian dan peluang daripada Allah SWT untuk mendapat pahalaNya.


Secara tobiinya, isteri yang bersifat kelembutan itu, memang suka melayan suaminya dalam segala hal keperluan dan kehendak. Begitu juga memasak untuk suaminya. Memasak adalah satu kemahiran. Untuk mendapat kemahiran ini, seseorang itu memerlukan latihan psikomotor. Kebanyakan isteri-isteri yang tidak pandai memasak ini adalah kerana mereka semasa remaja dulu tidak berpeluang mendapat kemahiran ini. Jika tingkatan 1 atau 4 telah mula tinggal di asrama yang biasanya memakan nasi kawah, pastinya tiada peluang untuk mereka mempelajarinya. Begitu juga yang tinggal di rumah bersama emak. Kadang-kadang emak menyuruh anak perempuan ini menumpukan perhatiannya kepada pelajaran. Ada juga yang mempunyai pembantu rumah yang menyebabkan anak-anak ini bertambah malas nak ke dapur. Apabila dah bekerja, masa untuk belajar memasak telah digunakan untuk menguruskan hal-hal kerjaya di pejabat. Begitulah kesudahannya. Tak pandai memasak.


Walau bagaimanapun, isteri-isteri ni pandai pula memasak masakan moden (western dan continental) yang mereka pelajari dari sekolah dan rakan-rakan semasa menuntut di dalam atau/dan luar negara. Ini adalah suatu kekuatan yang dia miliki.


Oleh itu, suami yang mempunyai isteri yang tersebut di atas, kita hendaklah berterus terang secara hikmah. Jangan terlampau "direct" mengatakan masakannya tu tak sedap. Tetapi mencari waktu yang sesuai seperti bawa dia ke restoren yang sedap masakan.


Dan katakan kepadanya, "Yang! ingat lagi tak masakan tom yam semasa Yang masak untuk jamuan di surau minggu lepas, ada beza tak dengan yang ini? Abang rasa dia bubuh sos sekian-sekian dan di tambah daun limau purut sekian sekian kot... mari kita tanya tukang masak tu.."


Jika kita berbohong dengan mengatakan masakannya sedap, sampai bila pun dia tidak akan membaiki masakannya. Oleh itu, kaedah di atas adalah salah satu cara yang boleh di amalkan. Banyak lagi kaedah yang berhikmah.


Kedua, jika isteri kita ni amat berminat untuk memasak jamuan untuk orang-orang di surau sedangkan dia tak pandai, maka kita cadangkan kepadanya memasak masakan moden atau asing bagi kariah di surau tu. Contohnya jika laksa adalah makanan tradisional utama di situ, maka jangan sekali-kali membenarkan isteri kita memasak laksa. Carilah masakan moden seperti nasi ayam atau mee sop. Atau gunakan perencah-perencah "instant" yang boleh didapati di kedai seperti rendang untuk di makan dengan nasi impit "segera".


Satu lagi peringatan untuk kita ialah, jika isteri kita orang Kelantan yang pakar memasak laksa kelantan sudah tentu tidak sedap kepada lidah suami yang berasal dari Johor. Begitu juga suami yang dah biasa dengan laksa Kuala Perlis, pasti tidak selera dengan laksa isteri dari Penang.


Dengan demikian, berusahalah sesama kita suami isteri mengorientasikan lidah masing-masing mengikut kesedapan masing-masing. Carilah masa hujung-hujung minggu bersama-sama isteri belajar memasak sama ada tradisional mau pun moden. Jadikan ia sebagai salah satu aktiviti rekreasi keuarga.Sama-samalah menilai masakan itu.


Jangan lupa ajak anak-anak perempuan kita bersama-sama menerokai bidang masakan ini. Supaya dia tidak menyalahkan ibunya kelak kerana tidak mengajarnya.


Akhir kalam, paradigma isteri pandai memasak ini akan pupus juga akhirnya dengan kedatangan budaya makanan segera, jamuan di restoren, industri katerer masakan dan sindrom ketuhar mikro yang berlambak dalam pasaran.


Allah Maha Mengetahui.


wassalam


- Pak Utih - Sedutan Buku " Suami memimpin Isteri mengurus".

19 Jun 2014

Bila isteri ubahsuai hiasan dalaman

Gambar hiasan sahaja

Pada kebiasaannya kita pulang ke rumah dari tempat kerja, dengan minda yang masih memikirkan urusan kerja yang belum selesai, terus ke bilik tidur menanggalkan pakaian, mandi, solat dan mengenakan pakaian rumah. Dengan rasa segar, kita pun terus ke sofa melabuh badan sambil mencapai kopi panas yang disediakan oleh isteri. Sambil mencapai “remote control” tv, untuk mencari saluran-saluran yang kita minati, kita baru perasan yang susun atur ruang tamu itu telah berubah dengan sedikit tambahan jambangan bunga yang cantik di sudut bilik yang menambahkan keceriaan suasana.


Sedang kita menikmati rencana di skrin tv bersama kopi panas, isteri pun duduk di sebelah dengan menyimpulkan senyuman yang lain daripada biasa. Dia seolah-olah menantikan sesuatu daripada kita. Tetapi minda kita terus menumpukan minat terhadap rencana yang menayangkan seekor harimau bintang sedang mengejar mangsanya. Sifat kejantanan kita terasa puas apabila harimau itu dapat menangkap mangsanya.


Abang, berapa agaknya harga jambangan bunga tu? Abang tahu tak?”, isteri memulakan perbualannya sambil memaparkan wajah yang tersimpul manja.


Mata dan minda kita yang masih tertumpu kepada rencana di tv, terus menjawab selamba, “Entah, abang tak pernah beli bunga”. Sebaik saja kita menyatakan kebenaran itu, kelihatan wajah isteri berubah menjadi tawar. Memahami perangai isteri, cepat-cepat kita memberikan pandangan lain untuk menyokong kebenaran jawapan tadi, “Mahal ke? Mengapa tak beli bunga tiruan aje”.


Bila dengar sahaja komen kenyataan daripada kita, dia terus bangun menghentak kaki berjalan ke dapur sambil berkata, “Abanglah beli sendiri”. Kita pun terpinga-pinga. Apa salah kita? Cakap sikit sudah merajuk! Tak fahamlah isteri ni!. Hanya menyatakan kebenaran diri sendiri, dia dah naik marah. Sepatutnya riang gembira suasana petang, "rumah itu syurga ku" telah bertukar menjadi "rumah itu cuka ku".


Mengapa boleh terjadi? Mari kita analisis sketsa ini dari "dalam kasut" isteri kita.


Semasa ketiadaan kita , selepas letih membasuh pakaian dan memasak, isteri kita pun rehat sebentar di ruang tamu sambil menonton siaran pagi di tv. Dapatlah dia mengumpul sedikit tenaganya untuk bekalan kerja rumah lain yang belum selesai. Sambil itu matanya meninjau keliling ruang tamu yang hampir sebulan tidak diubahsuai susunaturnya. Timbul rasa di hati untuk mengubahnya demi keceriaan diri dan suaminya. Bingkas dia bangun dari sofa dan terus bertindak.


Bersendirianlah dia mengangkat, mengubah kerusi, meja, rak-rak dan sebagainya. Berbagai-bagai susun atur dicuba agar selari dengan konsep yang tercipta di dalam lubuk hatinya. Dan akhirnya dia melengkapi keceriaan suasana ruang tamu dengan sejambak gubahan bunga asli yang dibelinya di pasar. Harapannya amat tinggi agar ciptaannya ini mendapat pujian daripada suami tersayang.


Bila terdengar sahaja bunyi tapak kasut suaminya masuk ke depan rumah, hatinya berdebar-debar menantikan kata-kata indah dari suaminya laksana menunggu juru acara majlis Oscar Award mengumumkan pemenang "Pelakon Terbaik". Bila kita masuk sahaja ke dalam rumah, hatinya bertambah berdebar dan terpantul ukiran senyum tanpa darah di bibirnya. Tetapi alangkah sedih di hatinya apabila kita terus ke bilik tidur, tidak perasan akan perubahan di ruang tamu. Namun begitu dia masih menaruh harapan apabila suaminya minum di hadapan tv nanti. Rasa kecewa juga kerana suaminya lebih berminat kepada rencana di tv. Bertambah kecewa apabila kita mengkritik harga bunga bukan keceriaan bunga itu. Jelaslah yang suaminya ini jenis manusia yang tidak menghargai usaha murninya. Bukan hari ini sahaja, sudah banyak kali sumbangannya tidak dihargai.


Kita pula memanglah jenis manusia yang tidak perasaan akan perubahan yang berlaku di dalam rumah dan juga pakaian yang dipakai oleh isteri. Kajian oleh seorang penyelidik sosial di Kuala Lumpur menunjukkan hanya 10 peratus suami yang ingat warna tudung yang pakai oleh isterinya semasa sama-sama keluar ke pejabat. Sembilan puluh peratus lagi menyatakan tidak ingat atau salah warna. Memang minda lelaki kurang memberikan tumpuan kepada perkara “remeh’ itu jika dibandingkan minda perempuan.


Oleh itu, para suami yang dimuliakan, pandang-pandanglah dan dengar-dengarlah sekitaran di dalam rumah sebaik sahaja kita pulang. Bila nampak susunan baru atau lebih berseri rumah pada hari itu, maka janganlah kedekut untuk mengatakan, "Wow! is this my house?”. Pasti anda akan lihat isteri kita tersipu-sipu senyum kepuasan. Jika kita dapati sesuatu susunan yang tidak sesuai pada pandangan kita, jangan terus kritik, biarkan isteri sendiri yang menceritakan kelemahan rekaciptanya itu. Memang secara kebiasaannya, apabila kita puji susunatur itu, dia akan terus menyatakan kelemahan ciptaannya, seperti, "Tadi I dah banyak kali ubah bunga tu, tapi tingkap tu juga yang ganggu, blah blah blah ….".  Kitapun pujilah lagi dan lagi dan lagi.. Maka terhiburlah hatinya. Bahagialah kita pada hari itu. Maka dapatlah kita nkmati “Rumahku syurga ku”.


Selamat mencuba.